~BAIK & BURUK~


GARAM BUKAN ANCAMAN

Sebuah kajian saintifik berskala besar telah menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai tekanan darah normal tidak perlu takut mengambil sodium. Namun, bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi pula, pengambilan garam boleh dikurangkan kerana mereka mempunyai tindak balas sensitif kepadanya.

Walau bagaimanapun, telah diketahui sejak dua dekad lalu bahawa mereka yang mengalami tekanan darah tinggi dan tidak mahu mengurangkan kadar pengambilan garam boleh mengatasinya dengan mengambil lebih banyak makanan yang mengandungi potasium. Dalam hal ini, aspek keseimbangan antara dua mineral ini sangat penting.

Kekurangan potasium meninggalkan impak pada tekanan darah, sama seperti kadar pengambilan garam yang tinggi.

Maka, amalkan diet berpotasium tinggi yang boleh dicapai melalui pengambilan pelbagai jenis buah, sayuran dan beberapa jenis kekacang. Sebagai contoh, bayam, brokoli, pisang dan kentang masing-masing mengandungi lebih daripada 400 miligram potasium sehidang.

LARI LAJU, ANGKAT BEBAN

Kaedah lama lazimnya menyuruh kita berlari sejauh yang boleh untuk mengurangkan berat badan. Cara baru adalah dengan berlari dengan laju cara berselang dengan senaman menggunakan beban. Melalui cara ini, seseorang akan membakar lebih banyak lemak. Bagi pelari maraton, rutin ini sangat membantu kerana ia memberi tenaga tambahan bagi menghabiskan jarak larian yang lebih jauh.

Pada masa yang sama, angkat beban. Bukan untuk menjadi ahli bina badan yang berbadan sasa, tetapi ia adalah pelengkap dalam usaha menjaga berat badan ideal. Penggunaan beban melatih otot mencapai fungsi maksimum dan ia boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Otot yang sentiasa digunakan bukan sahaja menjana stamina malah meningkatkan metabolisme bagi membantu pembakaran kalori, walaupun selepas selesai melakukan senaman. Apa tunggu lagi? Ambil gelang beban untuk diikat di kaki dan mulakan larian!

KLORIN KOLAM RENANG

Sebuah kajian di Amerika Syarikat mendapati lapisan gas klorin yang terbebas di permukaan air kolam renang berpotensi untuk menjejaskan paru-paru dan mengakibatkan lelah. Namun, ia berkait dengan penggunaan klorin yang melebihi sukatan oleh penyelenggara kolam renang tersebut.

Jika kandungan klorin yang kuat mampu memedihkan mata, ia juga dikhuatiri meninggalkan kesan terhadap sel tisu di dalam paru-paru. Di sesetengah kolam renang, bau klorin sangat kuat hingga membuatkan perenang berasa tidak selesa, apatah lagi yang mempunyai kulit yang ekstra sensitif.

Risiko tersebut paling ketara bagi kolam renang tertutup dan lebih rendah silingnya, lebih tinggi ancamannya. Kajian yang dilakukan terhadap 1,881 kanak-kanak itu mendapati terdapat kaitan antara tempoh berenang di kolam renang tertutup dengan kemungkinan mereka menghidap lelah.

Paras protein darah dalam paru-paru didapati meningkat secara mendadak selepas berenang dan ini menunjukkan membran pelindung itu telah terdedah.

RISIKO BARBEKU

AndA mungkin gemar memasak cara memanggang atau barbeku. Ia mengingatkan kita tentang kaedah menikmati makanan cara outdoor dan dekat dengan alam semula jadi. Namun, banyak yang perlu difikirkan semula. Bakaran atas api meninggalkan benzopyrene yang terbentuk pada daging yang dipanggang. Berita buruknya adalah ia menjadi punca barah.

Terdapat perbezaan antara panggang atas bara dengan panggang atas api, dengan pilihan yang lebih baik adalah yang dipanggang atas bara. Api yang membakar lebihan lemak atau kulit pada daging meninggalkan unsur karbon yang tidak elok dimakan.

Maka sate yang anda gemari itu alangkah baiknya jika dimakan bersama bawang dan timun dalam kuantiti yang sama banyak. Bawang dan timun itu sedikit sebanyak mengandungi agen penentang yang dapat mengurangkan risiko ancaman benzopyrene dalam tubuh.

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini adalah dengan memastikan makanan tidak dipanggang sehingga berwarna kehitaman. Elakkan juga daripada membiarkan panggangan terkena api secara langsung. Selain itu, peraman daging sebelum panggangan boleh mengelakkan pembentukan asid hidroksisitrik.

Leave a comment

Filed under kesihatan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s